Pada hari ini dalam tahun 1948, Pesuruhjaya Tinggi penjajah British, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan “Darurat” di seluruh Malaya. “Darurat” ini telah berlarutan selama 12 tahun.

“Undang-undang Darurat” yang diumumkan telah memberi kuasa kepada polis dan tentera penjajah untuk menangkap dan menahan sesiapa sahaja yang disyaki tanpa bicara selama 2 tahun, melakukan pengusiran dan pembuangan negeri kepada mereka yang disyaki, menahan pergerakan rakyat, menjalankan perintah berkurung, dan menghukum bunuh mereka yang ditangkap menyimpan senjata.

Pengisytiharan “Darurat” ini telah mencetuskan peperangan gerila bersenjata antara tentera penjajah British dengan tentera PKM (Parti Komunis Malaya) yang dipanggil Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM).

Tempoh “Darurat” yang dikenali dalam sejarah sebagai “Malayan Emergency” dari tahun 1948 hingga 1960 ini merupakan tempoh perang yang terselindung di bawah nama “Darurat”.

Peperangan 12 tahun ini telah berlarutan menjadi perang saudara (“civil war”) yang memaksa rakyat dan penduduk untuk memihak kepada tentera penjajah atau tentera PKM. Penjajah British telah berjaya membentuk pasukan Askar Melayu untuk memerangi tentera PKM, dan pada masa yang sama tentera PKM telah berjaya membentuk sebuah pasukan rejimen yang dianggotai sepenuhnya oleh tentera gerila Melayu.

Untuk menyekat bantuan kepada tentera PKM, penjajah British telah melancarkan “Rancangan Briggs” di mana seramai separuh juta penduduk telah diusir dari kampung-kampung mereka dan dipindahkan secara paksa ke dalam kem-kem berkurung yang dipanggil “New Villages” (Kampung Baru). Kampung-kampung ini dipagar dengan kawat duri dan pergerakan penduduk di kawal sepenuhnya oleh penjajah. Makanan penduduk juga diterhadkan dan dikawal untuk menghalang bantuan makanan diberikan kepada tentera PKM. Kampung-kampung yang tidak dipindahkan yang disyaki membantu tentera PKM telah dikenakan hukuman perintah berkurung.

Bagi memenangi hati dan minda rakyat, penjajah British telah melaksanakan reformasi politik dengan mengizinkan pilihanraya dijalankan di peringkat tempatan pada tahun 1952, dan di peringkat persekutuan pada tahun 1955. Pada 31 Ogos 1957, di tengah-tengah keadaan “Darurat”, penjajah British telah memberikan kemerdekaan kepada Malaya, dengan syarat peperangan melawan tentera PKM diteruskan.

Selepas melalui tempoh perang 12 tahun yang telah mengorbankan 10,500 nyawa, akhirnya “Undang-undang Darurat” telah diisytiharkan tamat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Julai 1960.

hidsr-darurat