Permohonan untuk menyertai Bengkel Sejarah Lisan dibuka sekarang.

Sila isikan borang ini: Borang Permohonan Bengkel Sejarah Lisan 2017

Tarikh tutup permohonan: 20 April 2017


Naratif dan penceritaan sejarah pembentukan negara Malaysia kebanyakannya hanya memberi fokus kepada perspektif dan pengalaman tokoh elit politik dan orang penting, dan bukan dari perspektif rakyat biasa.

Untuk mengisi kekosongan ini, Pusat Sejarah Rakyat ingin melatih penemuramah- penemuramah sukarela yang boleh membantu kami untuk merakamkan kisah-kisah sejarah negara dari perspektif rakyat melalui wawancara bersama ahli keluarga dan orang biasa, termasuklah tokoh elit.

Bengkel Sejarah Lisan ini bertujuan untuk berkongsi metodologi dan etika dalam mengendalikan wawancara sejarah lisan, disamping memberikan pemahaman baru tentang sejarah rasmi, sejarah alternatif dan sejarah rakyat, dan juga perkongsian sejarah pembentukan negara dari sudut pandang yang berbeza.


Pusat Sejarah Rakyat merupakan sebuah pusat yang baru ditubuhkan untuk menyampaikan sejarah Malaysia dari perspektif rakyat. Sebuah negara memerlukan satu ingatan atau memori kolektif. Memori kolektif ini perlu bersifat inklusif, dengan ruang untuk memuatkan keunikan kita dan juga perbezaan, di samping mengiktiraf perjuangan dan pengorbanan yang telah kita kongsi bersama dalam proses pembentukan Malaysia. Untuk membantu dalam pembentukan memori kolektif ini, PSR telah memulakan Projek Sejarah Lisan yang bertujuan untuk mengumpul, menyimpan dan memulihkan ingatan rakyat biasa dan tokoh penting yang secara kebetulan telah melibatkan diri dalam sejarah dan pembentukan negara.

Projek ini tertumpu kepada bengkel-bengkel khusus untuk penemuramah-sukarela yang akan dilatih untuk mengendalikan dan merakam wawancara sejarah lisan, sama ada bersama ahli-ahli keluarga mereka atau individu-individu yang mereka pilih sendiri, ataupun bersama calon-calon wawancara yang dipilih oleh PSR. Dengan memberikan peluang kepada penemuramah untuk memilih calon-calon wawancara mereka sendiri, PSR mengambil manfaat dari pendekatan “orang dalam”, inter-generasi, berorientasikan keluarga yang menggemblengkan minat mereka terhadap sejarah keluarga mereka sendiri. Pendekatan ini juga membina keupayaan mereka untuk menghubungkaitkan pengalaman kehidupan individu dan keluarga mereka dengan sejarah pembentukan negara kita. Pendekatan ini membolehkan wawancara tersebut dikendalikan dan direkodkan dalam bahasa yang paling selesa untuk penemuramah dan juga calon yang ditemuramah. PSR memang terbuka kepada tema yang dicadangkan oleh peserta, termasuk tetapi tidak semestinya terhad kepada, pengalaman pasangan dari etnik yang berbeza atau dari keturunan campuran, pelbagai gerakan di Malaysia (contohnya gerakan mahasiswa, gerakan pekerja, gerakan wanita), pelbagai sejarah minoriti seperti orang LGBT di Malaysia, peristiwa sejarah (contohnya 13 Mei, Darurat, Penjajahan Jepun) atau berkaitan sejarah sesebuah kawasan (Contohnya Batang Kali, Sarawak, KL).

Latihan ini merangkumi dua bengkel:

Bengkel (I) “Pengenalan Sejarah Lisan” selama 2 hari (6 dan 7 Mei 2017)

Bengkel (II) “Meninjau Semula Projek-Projek Kami” juga selama 2 hari (29 dan 30 Julai 2017), di mana wawancara-wawancara yang dikumpul oleh para peserta akan dibincangkan.

Syarat-syarat penyertaan: Peserta perlu memastikan mereka akan menyertai keseluruhan program ini termasuk kedua-dua bengkel, dan akan menghasilkan rakaman wawancara, di mana butir-butir penghasilan rakaman tersebut akan dibincang semasa bengkel pertama.


Bengkel (I) “Pengenalan Sejarah Lisan”

Bengkel ini terdiri daripada empat (4) modul:

Modul 1 akan menyentuh persoalan sejarah, perbezaan antara sejarah rasmi, sejarah alternatif dan sejarah rakyat. Ia juga akan memberi gambaran keseluruhan detik-detik penting dalam sejarah Malaysia bermula dengan Penjajahan Jepun.

Modul 2 adalah tentang pengumpulan Sejarah Lisan. Ia akan menyentuh

  • Isu-isu epistemologi dan metodologi dalam hubungan antara memori dan sejarah
  • Isu-isu etika dalam penyelidikan wawancara
  • Isu-isu praktikal

Modul 3 akan melihat contoh-contoh penggunaan bahan-bahan sejarah lisan, terutamanya dalam projek-projek pendidikan sivik dengan contoh-contoh dari Malaysia dan luar negara.

Modul 4 akan dikhaskan untuk perbincangan akhir di mana para peserta boleh mempertimbangkan wawancara yang mereka ingin kendalikan.


Arkib Digital PSR – Semua rakaman wawancara akan disimpan di dalam arkib digital PSR yang juga akan mengandungi bahan-bahan visual, audio dan tulisan yang lain berkaitan dengan sejarah Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila tinggalkan komen di bawah atau hantarkan emel kepada [email protected]